Halaman

17 March 2013

UMT wujud sistem sokongan akademik

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mewujudkan Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik (PPPA) bagi mengambil alih sebahagian daripada fungsi Pusat Kualiti dan Pembangunan Akademik (PKPA).

Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, sistem sokongan akademik khususnya program pengajian prasiswazah dan pascasiswazah merupakan urusan utama UMT.

Katanya, PPPA akan memberi tumpuan kepada penambahabaikan berterusan program akademik sedia ada termasuk membantu fakulti untuk membangunkan program baru dan memantau keberkesanan serta kualiti program pengajian.

 “Manakala PKPA memberi fokus kepada perancangan dan pembangunan program pengajian,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, pelajar yang meneruskan pengajian di UMT mengharapkan mendapat ilmu dan kemahiran baharu, perubahan sikap dan minda ke arah lebih progresif dan mampu mendapatkan pekerjaan yang diidamkan apabila tamat pengajian kelak.

Sehubungan itu katanya, PPPA akan melihat program pengajian diploma, prasiswazah dan pascasiswazah dalam satu kontinum pembelajaran yang berterusan.

“Semua program dirancang dan diselaraskan dengan rapi supaya mobiliti pelajar antara program dan fakulti dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Pendekatan itu katanya, membolehkan semua program akademik diperkenalkan sebagai program universiti dan peranan fakulti ialah untuk melaksana, menambah nilai dan meningkatkan kualiti.