Halaman

05 March 2013

Tuduhan berat, Tian Chua tidak boleh dimaafkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menganggap insiden tembakan di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi terancang Kerajaan Umno sesuatu yang tidak boleh dimaafkan, kata Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris.

 “Kenyataan Tian Chua itu adalah tuduhan berat dan membawa padah yang besar. Bukan hanya memberi kesan kepada Umno dan juga Sabah, keluarga anggota keselamatan dan masyarakat akan berdendam dengan Umno (jika terpengaruh).

“Memang kenyataan sedemikian tidak boleh dimaafkan,” katanya ketika sidang media di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Datuk Razali yang juga Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) berkata, kesan kepada kenyataan itu turut mengakibatkan pemimpin pembangkang terbabit menerima kutukan keras daripada pelbagai pihak terutama pimpinan Umno di pelbagai peringkat.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan hanya menimbulkan provokasi di kalangan ahli Umno tetapi turut mendatangkan kesan besar terhadap keluarga mangsa anggota keselamatan yang terkorban dalam siri pencerobohan itu.

Menurutnya, isu yang sengaja dipolitikkan pembangkang itu antara lain bagi menarik perhatian rakyat dan cuba menyemai benih-benih kebencian kepada kerajaan dan juga kepimpinan Umno dan Barisan Nasional.

Dalam masa yang sama beliau tidak menolak Tian Chua bertindak sedemikian bagi mengalih perhatian rakyat berkaitan isu yang mengaitkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang sebagaimana dilaporkan dalam media arus perdana sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya Gertak tidak berhasrat mengadakan bantahan terhadap pihak terlibat sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu itu sebaik yang mungkin mengikut landasan perundangan.