Halaman

06 March 2013

Tindakan Tian Chua terus dikecam

Oleh: Noraini Jusoh

Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menganggap insiden tembakan di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi terancang Kerajaan Umno terus dikecam rakyat.


Semalam, seramai 100 orang tampil ke Balai Polis Batu Rakit untuk membuat laporan polis dan mengadakan demostrasi secara aman bagi membantah kenyataan pemimpin pembangkang itu.

Diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat, mereka terdiri daripada jentera Pergerakan Pemuda Umno, Pergerakan Wanita Umno dan Kelab Sukan Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit dengan penuh perasaan melaungkan kata-kata sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengutuk dakwaan tidak berasas yang dilemparkan Tian Chua kepada Umno.

Haji Khazan dalam kenyataannya kepada media melahirkan rasa kecewa kerana masih ada golongan yang sanggup mempolitikkan hal berkaitan keamanan dan keselamatan negara.

"Apa yang dilemparkan Tian Chua adalah satu tuduhan yang sangat berat dan boleh mengugat keselamatan negara dan agama terancam.

"Saya berharap pihak berkuasa menyiasat kenyataan Tian Chua dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya kepada sidang media selepas selesai membuat laporan polis tersebut.

Katanya, sekiranya Tian Chua menarik balik tuduhannya terhadap Umno, siasatan akan berakhir.

Tambah beliau, kerajaan juga telah mengunakan pendekatan secara berhemah bagi menyelesaikan krisis di Lahad Datu supaya ia berakhir dengan baik.