Halaman

03 March 2013

Terharu terima bantuan banjir

Oleh; Esah Abdullah

“Tadok doh kerajaan lain sebaik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang cakna rakyat macam ni,” kata Encik Ramli Mamat, 62, dari Kampung Jeram Manir, Dun Teluk Pasu ketika ditemui di majlis Pengagihan Bantuan Mangsa Banjir di Institut Pendidikan Guru Dato’ Razali Ismail Batu Rakit hari ini.

Beliau bersama keluarga seramai 10 orang berada selama empat hari di Pusat Perpindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram itu menerima pelbagai bantuan barangan makanan harian dan wang.

“Saya dan keluarga bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan walaupun ditimpa musibah tapi kami gembira kerana ramai yang datang membantu,” katanya.

Seorang ibu tunggal Puan Noriah Ngah, 52 dari Taman Desa Darul Iman juga tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu dan bersyukur di atas perhatian kerajaan negeri terhadap mangsa banjir di negeri ini.

“Walau pun saya mengalami kerugian ribuan ringgit kerana beberapa barangan elektrik di tengelami air namun dengan perhatian dan bantuan yang diberi berjaya mengubat kesedihan saya sekeluarga,” kata ibu kepada empat anak. Seorang lagi ibu tunggal dua anak,

Puan Kiah Jusoh, 58, dari Kampung Bukit Nangka, Dun Tepoh turut melahirkan rasa syukur kerana mempunyai pemimpin yang sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi rakyat.

“Orang kerajaan terutama wakil rakyat selalu mari tanya khabo masa kita duduk di pusat perpindahan banjir dan sepanjang tiga hari di situ, makan minum kita mewah,” katanya yang turut mempunyai tiga cucu yang tinggal bersamanya.

Perkara Ini diakui jiran sekampungnya, Puan Zainab Mamat, 58, yang turut bersyukur dengan apa yang diperolehinya dan ia membuktikan kerajaan tepati janji yang dibuat.

“Walau pun sedih rumah di tenggelami air tapi perhatian yang diberi oleh kerajaan, membuatkan kita rasa suka duduk di pusat perpindahan banjir,” katanya.