Halaman

18 March 2013

Terengganu terus catat peningkatan dalam STPM

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu terus mencatat peningkatan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila 2, 861 atau 96.01 peratus daripada 2,980 calon peperiksan itu tahun lalu mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.

Encik Hashim Mohd Zin menunjukkan analisis keputusan pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2012
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin berkata, berbanding 95.34 peratus atau 2679 daripada 2810 calon yang menduduki peperiksaan tersebut pada tahun sebelumnya (2011) calon yang berjaya mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil telah meningkat sebanyak 0.67 peratus.

Katanya, peratusan calon yang lulus di Terengganu turut mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 1.57 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.01 peratus berbanding peratusan kebangsaan (94.44 peratus).

"Daripada 2,861 calon yang mendapat lulus penuh, 261 (8.76 peratus) lulus penuh lima mata pelajaran, 41.44 peratus (1,235 orang) lagi lulus penuh empat mata pelajaran, diikuti 23.42 peratus (698 orang) lulus penuh tiga mata pelajaran dan 13.56 peratus atau 404 orang lulus penuh dua mata pelajaran.

"Baki 8.83 peratus atau 263 calon lagi lulus penuh satu mata pelajaran. Manakala 1,301 calon (43.66 peratus) memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 2.66 bagi calon yang mengambil empat atau lima mata pelajaran,” katanya ketika sidang media pengumuman keputusan STPM di JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Gred Purata Sekolah (GPS) bagi negeri ialah 2.40 berbanding 2.33 (2011), manakala sekolah cemerlang berdasarkan pencapaian GPS melebihi 2.60 adalah Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (3.05), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Setiu (2.85); SMK Sultan Ismail, Kemaman (2.75); SMK Badrul Alam Shah, Kemaman (2.75); SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu (2.73); SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu (2.66) dan Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut (2.62).

Beliau berkata, sebanyak 17 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu; SMK Tengku Ibrahim, Setiu; SMK Sultan Ismail, Kemaman; SMK Badrul Alam Shah, Kemaman ; SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu ; SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu; Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut; SMK Matang, Hulu Terengganu; SMK Menerong, Hulu Terengganu; SMK Saujana, Setiu; SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu; SMK Tun Telanai, Marang; SMK Manir, Kuala Terengganu; SMK Seri Nering, Besut; SMK Seri Nilam, Kuala Terengganu; SMK Pengkalan Berangan, Marang dan SMK Bukit Nenas, Setiu.