Halaman

30 March 2013

Terengganu terima tempias FDI

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu adalah negeri ketiga di Malaysia menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) tertinggi tahun lalu, dengan nilai pelaburan RM13.4 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata tahun lalu, kerajaan negeri menerima pelaburan asing bernilai berbilion ringgit, yang pada masa sama menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Kita dan turut terima tempias daripada projek Iskandar Malaysia dan berada pada kedudukan ketiga terbaik ,” katanya ketika berucap merasmikan Terowong Kemajuan jalan Pulau Kambing ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Haji Shafii Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan asing keseluruhan bernilai RM25 bilion menerusi industri besi waja di Kemaman tahun ini.

Katanya, projek itu termasuklah pembinaan kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion, yang turut menyediakan lebih hampir 5,000 peluang pekerjaan.

"Tahun lalu juga, kita terima pelaburan RM3.8 bilion dari syarikat China untuk membuka kilang besi waja kedua di Kemaman.

"Selain itu kita juga menerima pelaburan bernilai RM6 bilion dari syarikat Korea untuk membina taman bio teknologi di Kertih," katanya

Menteri Besar berkata, dengan kerancakan kemasukan FDI ke negeri ini, ia bukan saja menjana ekonomi negeri, tetapi juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama golongan muda.