Halaman

26 March 2013

Terengganu perintis sedia insentif tubuh koperasi masjid

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu muncul negeri perintis menyediakan insentif berjumlah RM10,000 bagi mewujudkan koperasi melalui program Satu Masjid Satu Koperasi (SMSK).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata sejak program itu dilancarkan dua tahun lalu, sebanyak 15 masjid seluruh negeri mengambil inisiatif menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing dengan mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri.

"Program SMSK mula dilancarkan Kerajaan Pusat pada 2011 sebagai usaha menggalakkan semua golongan masyarakat dan komuniti berkoperasi.

"Bagaimanapun, rakyat Terengganu mendapat keistimewaaan yang tidak diperoleh negeri lain, iaitu insentif RM10,000 sebagai pembiayaan awal memulakan perniagaan koperasi," katanya selepas Majlis Penutup Seminar Sinergi Transformasi Koperasi Wilayah, Ketengah, baru-baru ini.

Seramai 100 peserta terdiri daripada pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah koperasi dalam wilayah Ketengah menghadiri seminar dua hari itu.

Dato’ Mohamed berkata, pihaknya mensasarkan penubuhan 30 lagi koperasi masjid sehingga hujung tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 45 koperasi.

Katanya, bagi mencapai tujuan itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk diagihkan kepada jawatankuasa masjid yang berminat menubuhkan koperasi di kawasan mereka.

"Kita akui sambutan yang diterima agak perlahan dan kurang memberangsangkan. Perkara ini mungkin disebabkan persepsi dan mentaliti masyarakat yang agak sukar menerima perkara baru.

"Kita harapkan dengan inisiatif ini, lebih ramai akan merebut peluang bagi menubuhkan koperasi kerana banyak manfaat kepada masyarakat terutama untuk ahli koperasi," katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang sentiasa bersedia membantu bukan sahaja daripada aspek khidmat nasihat dan teknikal malah bantuan kewangan.