Halaman

21 March 2013

Terengganu kekal momentum cemerlang SPM 2012

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Terengganu mengekalkan momentum kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  apabila merekodkan peningkatan dari segi kualiti pelajar yang memperolehi semua A+ bagi keputusan peperiksaan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.



Berdasarkan keputusan yang diumumkan hari ini, pelajar yang memperolehi semua A+  atau cemerlang tertinggi dalam semua mata pelajaran meningkat empat orang kepada 19 orang berbanding 15 orang pada 2011.



Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) , Encik Hashim Mohd Zin, berkata prestasi calon yang memperolehi semua A turut meningkat dengan 513 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2.46 peratus) berjaya mencapai keputusan itu, berbanding 408 calon (1.95 peratus) pada tahun sebelumnya.

 “Seramai 19 orang calon sekolah KPM (0.09 peratus) berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 15 orang (0.07 peratus) pada 2011.

 “Saya ingin menegaskan bahawa bukanlah suatu yang mudah bagi mencapai calon gred cemerlang tertinggi ini melainkan dengan disiplin, tekad, semangat dan komitmen serta sokongan moral semua pihak akan mampu melahirkan pelajar sebegini,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini.

Encik Hashim berkata, enam sekolah menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 dan ke bawah. Sekolah berkenaan, Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu (1.49), SM Imtiaz Besut (1.67), SM Sains Kuala Terengganu (1.79), SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2.06), SM Sains Hulu Terengganu (2.07) dan SM Imtiaz Kuala Terengganu (2.23).

 “Selain itu, prestasi mata pelajaran turut membanggakan apabila 33 daripada 73 mata pelajaran yang diambil calon SPM menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Mata pelajaran (GPMP).

“Bagi kategori cemerlang, sebanyak 23 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus ( gred cemerlang A+, A atau A-), sementara 20 mata pelajaran menunjukkan prestasi stabil iaitu peningkatan atau penurunan kurang daripada tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-), manakala 29 mata pelajaran menurun prestasinya melebihi tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-),” katanya.

Seramai 22,274 calon menduduki SPM 2012 berbanding 22,702 orang pada 2011 di 183 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.