Halaman

28 March 2013

TCS galas usaha pacu Terengganu Maju 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) bersama-sama menggalas usaha bagi memacu Terengganu untuk muncul sebagai negeri maju menjelang 2020.

“Kerajaan negeri amat optimis dan komited untuk terus membangunkan Terengganu. Oleh itu, saya berharap semua TCS saling bergandingan dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan penuh etika bagi merealisasikan hasrat itu.

“Semua TCS perlu meningkatkan pencapaian dan prestasi bagi memastikan langkah menjadikan Terengganu sebagai negeri maju 2020 nanti tercapai,” katanya di Majlis Ramah Mesra Pegawai-Pegawa Tadbir Negeri Terengganu Bersama YAB Menteri Besar,  di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Haji Mohd Azlan Dagang.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Haji Mohd Kamil Othman, semua pegawai daerah dan yang dipertua perbandaran daerah seluruh Terengganu.

Menteri Besar berkata, dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu , Malaysia masih mampu mencatat pertumbuhan ekonomi 5.26 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

“Tiada sebab untuk negara kita gagal mengekalkan pertumbuhan itu pada tahun ini berdasarkan perkembangan dan kemajuan ekonomi semasa negara yang turut memberi impak kepada pembangunan negeri.

“Malah, di Terengganu pada mutakhir ini dilihat sudah mampu bersaing dengan kemajuan ekonomi di Pantai Barat berdasarkan sumber dan mineral baru yang ditemui di perut bumi negeri ini,” katanya.

Beliau juga yakin pada lima tahun akan datang Terengganu mampu untuk mencapai Pelaburan Asing Langsung (FDI) sehingga RM25 bilion hasil pertumbuhan ekonomi dan pelbagai projek berskala besar termasuk pembinaan dua kompleks kilang besi pada tahun ini.

Katanya, satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat dari China yang bersetuju melabur RM15 bilion akan dimeterai bulan depan.

"Pelaburan untuk membina kompleks kilang besi itu nanti dijangka menyediakan 5,000 peluang pekerjaan. Sementara satu lagi syarikat juga dijangka melabur RM10 bilion untuk membina satu lagi kilang besi dan perinciannya akan diketahui dalam tempoh terdekat nanti," katanya.