Halaman

27 March 2013

Sumber air Terengganu, cukup untuk tempoh 30 tahun

Menteri Besar ketika menjawab persoalan wartawan pada sidang media selepas mesyuarat mingguan exco.
Oleh: Suriati Ali

Terengganu mempunyai sumber air mentah yang mencukupi berdasarkan unjuran keperluan permintaan untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sungai-sungai di Terengganu, terutama Tasik Kenyir, Hulu Terengganu masih terpelihara daripada sebarang pencemaran industri dan pertanian.

Katanya, keadaan ini menjadikan kualiti air terawat di Terengganu adalah antara yang terbaik berbanding negeri lain.

“Bagaimanapun, pihaknya sedar usaha-usaha pemuliharaan sungai-sungai serta kawasan tadahan ini perlu terus dilaksanakan bagi mengelak pencemaran sumber -sumber air ini.

 “Berlakunya pencemaran air bermakna peningkatan kos rawatan, secara tidak langsung akan membebankan operasi operator industri air dan akhirnya pengguna terpaksa membayar kos yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bekalan Air Negara , Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu malam tadi.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib; CEO SPAN Dato’ Teo Yen Hua dan CEO Satu Haji Hussain Embong.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri berpuashati terhadap perkhidmatan yang diberikan Satu di Terengganu.

 “Pada masa sama sedar dan faham kekangan-kekangan yang dihadapi pihak itu dan semua operator bekalan air bahawa loji-loji rawatan air menggunakan tenaga elektrik daripada TNB sebagai punca penjanaan kuasanya.

 “Peningkatan tarif elektrik akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran air terawat yang amat signifikan,” katanya

 Menurutnya, operator bekalan air seboleh-bolehnya tidak mahu membuat semakan tarif air tetapi peningkatan kos rawatan air yang terlalu tinggi menyukarkan operator memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.

 “Dalam konteks Terengganu, peningkatan tarif elektrik pada Jun 2011 telah menyebabkan peningkatan kos pengeluaran air sebanyak RM 2 juta berbanding tahun sebelumnya.

 “Operator bekalan air juga mengalami peningkatan kos yang ketara dalam penyelenggaraan loji dan paip-paip air. “Kos-kos ini terpaksa ditanggung oleh operator bagi memastikan keupayaan sistem agihan dan pembekalan air berada pada tahap yang maksimum,” katanya.