Halaman

14 March 2013

RM13 juta bantu 2,000 usahawan

Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengeluarkan bantuan pembiayaan lebih RM13 juta kepada 2,000 usahawan seluruh negeri bagi membantu perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera berkata, kira-kira 1,724 lagi usahawan baru telah dikenalpasti serta berdaftar dengan YPU.

“Kita akan bantu usahawan dari segi pembangunan produk, memberi kemudahan pinjaman mikro, pemantauan dan penilaian terhadap projek-projek usahawan,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Karnival dan Forum Usahawan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Padang Hiliran hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik; Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Pengarah Kanan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Dato’ Dzulkifli Mohmud.

Menurutnya, tiga faktor utama mendorong seseorang individu itu menceburi bidang keusahawanan ialah dasar kerajaan itu sendiri, pendidikan dan latihan formal serta sokongan kerajaan dalam bentuk infrastruktur termasuk kemudahan kewangan.

 “Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi mempromosi dan memasarkan produk mereka termasuk menyertai pameran perdagangan domestik di Johor, Miri, Kota Kinabalu dan bagi usahawan yang berpotensi tinggi kita bawa ke pameran antarabangsa seperti di Dubai dan Perth,” katanya.

Menurutnya, satu program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan (PKPP) mula dilaksanakan untuk melahirkan usahawan IKS yang berdaya saing di peringkat domestik dan global.

“Program ini yang dikenali sebagai Program Groom Big (PGB) mampu mempertingkatkan kedudukan sesebuah syarikat peringkat mikro, kecil dan sederhana yang bersedia untuk mengeksport produk dan perkhidmatan hingga ke peringkat global,” katanya.

Pada karnival yang berlangsung tiga hari itu dua kertas kerja turut dibentang bertajuk ‘Usaha YPU Dalam Melahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi’ oleh haji Azmi Razik dan ‘Potensi Pasaran Eksport Produk dan Perkhidmatan ke Negara Asean dan Asia Pasifik’ oleh Dato’ Dzulkifli Mahmud.