Halaman

08 March 2013

Remaja disaran aktif dalam kokurikolum

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Negeri sedia membantu dan menggalakkan persatuan beruniform dan belia di negeri ini yang berminat untuk mengadakan program termasuk kepada pihak sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kebiasaanya belia dan pelajar yang tidak terlibat dengan aktiviti kokurikulum dan juga unit-unit kesukarelawan mudah terjebak masalah sosial.

“Golongan remaja dan belia disaran melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan kesukanan yang secara tidak langsung mampu menerapkan nilai-nilai murni yang boleh membentuk jati diri mereka menjadi insan hebat.

“Bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu, kita bercadang memberi bantuan termasuk kewangn kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk disalurkan kepada sekolah bagi menjalankan aktiviti terutama kepada persatuan-persatuan beruniform yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Perkhemahan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) Peringkat Negeri di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu.

Menurutnya,kerajaan juga sentiasa memberi kerjasama dengan memberi bantuan dari segi kewangan dan menyediakan kemudahan kepada kepada unit-unit yang ingin mengadakan program.

"Keutamaan diberi kepada pelajar sekolah menengah dan belia kerana peringkat usia begitu mereka mudah menerima apa yang disampaikan," katanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mula menular di Terengganu dengan menggunakan media sosial.

Namun ia masih terkawal melalui pemantauan yang dibuat serta mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kempen-kempen di sekolah agar tidak menyulitkan kerajaan hari ini.