Halaman

21 March 2013

Penduduk Hulu Besut dapat jalan baru menghubungi Hulu Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak 

Lebih 30,000 penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman Hulu Besut, akan mendapat kemudahan jalan raya yang lebih besar apabila projek pembinaan laluan Keruak ke Gunung Bongsu, Hulu Terengganu siap sepenuhnya pada 2014.

Jalan berkenaan juga akan memendekkan waktu perjalanan penduduk sekitar daerah Besut yang akan pergi ke utara melalui Ipoh,Perak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pembinaan jalan fasa pertama sejauh10 kilometer berharga RM106 juta kini pada tahap 38 peratus siap.

Katanya, pembinaan fasa berikutnya membolehkan pengguna jalan raya dari Besut ke Tasik Kenyir seterusnya ke Gua Musang dan Perak, akan menjimatkan waktu perjalanan berbanding sekarang yang menggunakan laluan Kuala Terengganu atau Gua Musang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian pelaksanaan projek pembinaan jalan Keruak-Gunong Bongsu,Hulu Terengganu, di Kampung Belaoh, Hulu Besut.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabio Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad.

Pembinaan jalan berkenaan satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hadiah istimewa kepada penduduk daerah Besut.