Halaman

15 March 2013

Pas paradoks, hina Islam bersama DAP

Oleh FAUZI MOHD 

Polemik isu kalimah Allah dalam Pas akan reda jika pemimpin tertinggi parti itu membuat kenyataan terbuka, akur dengan keputusan Majlis Syura dan menarik balik persetujuan yang ditandatangani bersama pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Januari lalu.

Namun, sehingga hari ini Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih membisu mengenai kedudukan Pas dalam perjanjian itu yang rancak dijaja pemimpin sekutu Pas dalam PR, menerusi ceramah mereka di seluruh negara. Apa yang dapat didengar, pemimpin Umno dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pula yang dipersalahkan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa berceramah di Ketereh, Kelantan awal Februari lalu mendedahkan dokumen kenyataan bersama pemimpin PR yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain ditandatangani Abdul Hadi sendiri.

 Jelas, pemimpin pembangkang itu tidak menghormati dasar Pas yang diputus Majlis Syura Ulama parti berkenaan pada 13 Januari lalu bahawa kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.

Pemimpin sekutu Pas juga jelas tidak menghormati pemimpin parti itu seperti Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu yang membuat kenyataan pusingan-U akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama, walaupun sebelum itu menyokong gesaan DAP agar kalimah Allah diguna dalam Bible berbahasa Melayu.

 Pengerusi DAP, Karpal Singh antara pemimpin sekutu Pas yang terawal membantah keputusan Majlis Syura Ulama itu yang disifatkannya tidak mewakili suara majoriti Pas dan mahu Abdul Hadi mendesak badan berkenaan mengkaji semula keputusan mereka.

Hakikatnya Majlis Syura Ulama merupakan badan penentu dasar Pas, justeru timbul persoalan sejauh mana pemimpin sekutu Pas menghormati parti itu dan mengapa Abdul Hadi masih enggan membuat kenyataan terbuka menarik balik dokumen yang ditandatanganinya bersama Anwar dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pada 8 Januari itu?

Apakah bagi Abdul Hadi tarikan menawan Putrajaya dengan kerjasama sekutu itu lebih penting daripada agenda parti memperjuangkan Islam?

 Bagaimana pula dengan saranan anggota akar umbi Pas yang mahu pemimpin mereka menghentikan kerjasama dengan PKR dan DAP, jika Pas benar-benar mahu menjaga kesucian Islam?

 Jelas sekali keputusan Majlis Syura Ulama itu selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-82 yang bersidang pada Mei 2008, bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam serta tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam.

Mengulas polemik itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dato’ Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas sepatutnya menjelaskan kepada rakan pakatannya dan umum bahawa pendirian parti itu mengikut apa yang diputuskan Majlis Syura.

"Takkan ada dua pendirian dalam Pas? Majlis Syura adalah badan tertinggi dalam parti yang memutuskan mengenai polisi dan dasar parti, sudah tentu keputusan Majlis Syura yang terpakai dan dokumen 8 Januari itu menjadi tidak sah.

 "Pas patut jelaskan perkara itu supaya tidak timbul kekeliruan atau adakah Pas merasakan parti lebih tinggi daripada Majlis Syura? Kenapa mesti wujudkan satu keadaan yang kabur?," katanya yang dipetik melalui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, apabila tiada sebarang penjelasan, keadaan itu memungkinkan pihak-pihak tertentu mengambil keuntungan politik daripada isu tersebut.

 "Pas mesti buat pendirian bahawa dokumen yang ditandatangani Presidennya tidak sah dan keputusan Majlis Syura adalah terpakai.

Pas mempamerkan sikap paradoks supaya pengundi keliru dengan sikap mereka, ini taktik untuk tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas kesilapan mereka," katanya.

 Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali berkata, keputusan Majlis Syura mesti dihormati dan dipatuhi semua anggota Pas termasuk pimpinan tertinggi parti.

"Dato’ Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul Am), Dato’ Harun Taib (Ketua Dewan Ulama) kedua-dua mereka ini adalah panglima di dalam Pas yang akan mempertahankan kalimah Allah sehingga akhir hayat mereka.

 "Dato’ Nik Aziz dan (Abdul) Hadi, kedua-dua mereka ini membuat 'U-turn' dan kembali akur dengan keputusan Majlis Syura dan sokongan kena 'solid' untuk mempertahankan keputusan itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini,

Hasan turut mengulangi kenyataannya bahawa Pas perlu meninggalkan pakatan pembangkang kerana jelas kerjasama dengan PKR dan DAP tidak menguntungkan Melayu dan Islam.

Beliau berkata, Pas perlu membuka mata kerana selama ini hampir semua yang diusahakan Pas mengenai Islam termasuk di peringkat negeri ditentang DAP.

 "Isu kedai gunting di Kelantan, penutupan pusat hiburan oleh kerajaan negeri Kedah, hudud dan negara Islam semua ditentang DAP. Abdul Hadi berkata Pas akan keluar daripada pakatan sekiranya kerjasama antara PKR dan DAP merugikan Islam dan Melayu.

 "Tak ada satupun (kerjasama antara PKR dan DAP) mendatangkan keuntungan kepada Pas. Fakta dah jelas bahawa ia tak menguntungkan Pas, keluarlah sekarang... nak tunggu apa lagi?" kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor itu.

Hasan dalam kenyataannya pada 17 Februari lepas membangkitkan beberapa persoalan antaranya apakah kenyataan Karpal bahawa langkah mayatnya dahulu jika Pas berhajat untuk melaksanakan Negara Islam dan hudud itu menguntungkan Islam?

Soal beliau, adakah persetujuan PR untuk membolehkan kalimah Allah diguna oleh bukan Islam khususnya penganut Kristian yang jelas tujuan tersiratnya adalah untuk menyebarkan fahaman Kristian di kalangan orang Melayu menguntungkan Islam?

Dan adakah amaran dan ugutan pimpinan tertinggi DAP untuk meletakkan jawatan secara beramai-ramai sekiranya Pas melaksanakan hudud menguntungkan Islam?

Berdasarkan soalan yang dikemuka Hasan jelas menunjukkan kerjasama Pas dan DAP serta PKR tidak menguntungkan orang Melayu dan agama Islam.

 Tindakan pemimpin DAP dan PKR yang memperlekeh keputusan Majlis Syura Ulama pula membawa persoalan sejauh mana Pas dihormati dalam pakatan dan apakah yang akan berlaku kepada Pas dan pemimpinnya, jika pakatan menawan Putrajaya, termasuk impian PAS untuk menjadi Perdana Menteri?