Halaman

22 March 2013

Pakatan pembangkang tidak ada prinsip

Tan Sri Muhyiddin bersama barisan kepimpinan Umno Terengganu di Himpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Padang Bola Rhu Rendang, Marang, petang ini.
Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Aida Abd Rahman 

Pakatan parti pembangkang tidak mempunyai prinsip seperti Barisan Nasional (BN) iaitu menunaikan setiap janji yang dilafazkan kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Sehubungan itu, katanya, pembangkang tidak layak untuk memerintah negara ini dan mengambil alih tugas yang telah dilakukan BN sejak lebih 55 tahun lalu.


“Kerajaan BN memegang prinsip menepati janji dan menjaga kebajikan rakyat di mana ia menjadi asas yang penting bagi rakyat menyokong BN.

 “Pihak pembangkang tidak ada asas ini kerana mereka tidak berupaya untuk melaksanakan janji yang telah dibuat pada setiap kali pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Padang Bola Rhu Rendang, petang ini.


Kira-kira 30,000 orang hadir pada majlis itu yang turut disertai Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta pemimpin Umno dan parti-parti komponen BN.

Tan Sri Muhyiddin meminta rakyat negara ini terus mendokong Umno dan BN bagi meneruskan agenda pembangunan agar Malaysia dapat mencapai wawasan menjadi negara maju menjelang tahun 2020.


“Saya mahu pemimpin Umno bekerja lebih keras dan bersungguh-sungguh, turun ke segenap pelusok negeri bagi mendengar rintihan rakyat dan mencari jalan segera menyelesaikan masalah mereka.

“Kita bawa mesej penting kepada semua penduduk negeri ini bahawa Umno dan BN sentiasa berusaha untuk membela nasib rakyat,” ujarnya.

Beliau mahu rakyat negara ini sedar bahawa usaha BN membela nasib mereka tidak terbatas dan ia akan diteruskan hingga mereka bejaya keluar daripada belenggu kemiskinan.