Halaman

04 March 2013

Kerajaan terbit 6,000 Kitab Feqah versi baru

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menerbitkan 6,000 buah versi baru Kitab Al-Fiqhul –Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini untuk tatapan generasi masa kini.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, usaha ini dilakukan sesuai dengan perkembangan semasa di samping untuk mengekalkan khazanah yang ditinggalkan oleh ulama terdahulu.

“Bahasa dan ayat yang terdapat dalam kitab lama memang unik dan kadang –kadang sukar difahami jadi kita ambil inisiatif untuk menerbitkan semula dengan menggunakan bahasa jawi moden yang mudah difahami,” katanya,

Menteri Besar berkata demikian di Majlis Pelancaran Kitab Al-Fiqhul-Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini, Siri Kedua dan Ketiga dan Kursus Metodologi Pengajaran Guru-guru Agama Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Katanya, siri kedua dan ketiga masing-masing dicetak 3,000 buah setiap siri dengan kos keseluruhan RM825,000 manakala siri pertama telah diterbitkan pada 2011 dan diedar kepada guru-guru agama YIT yang mengajar di masjid dan surau seluruh negeri.

“Guru-guru agama dan guru takmir di kampung-kampung main peranan penting menyalurkan ilmu agama kepada masyarakat dan ia memerlukan bahan yang senang dan mudah difahami oleh semua golongan,” katanya.

Menurutnya, kitab ini telah ditulis oleh guru-guru agama dan ulamak yang hebat dengan menggunakan bahasa dan ayat pada zaman itu dan khazanah lama itu diangkat semula dalam bentuk moden yang lebih menarik dan mudah difahami tanpa menjejaskan maksud asal.

“Setakat ini kita hanya bekalkan kitab ini kepada guru-guru agama YIT secara percuma, tetapi jika ada orang ramai yang berminat untuk mendapatnya boleh berhubung dengan pihak YIT,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya telah menyerahkan Kitab A -Fiqhul-Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini siri kedua dan ketiga kepada pegawai agama daerah-daerah untuk disampaikan kepada guru agama di daerah masing-masing.