Halaman

06 March 2013

Kerajaan sumbang RM100,000 kepada keluarga mangsa insiden di Lahad Datu

Menteri Besar ketika membuat sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.
Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan memberi sumbangan berjumlah RM100,000 kepada dua keluarga anggota pasukan keselamatan dari negeri ini yang telah terkorban dalam peristiwa pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga terbabit dan berharap roh mereka dicucuri rahmah serta ditempatkan bersama para syuhada.

“Setiap keluarga anggota yang terkorban masing-masing menerima RM50,000 daripada kerajaan negeri dan keputusan ini dibuat dalam mesyuarat sebentar tadi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Dua anggota keselamatan kelahiran negeri ini yang terkorban dalam insiden itu ialah Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, anggota Komando VAT 69, berasal dari Kampung Kubang Ikan, Jerteh.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Nor Aziah Noor dan dua anak lelaki, Noor Aqmar Amiruddin, 4 dan Noor Muhammad Akil satu tahun.

Seorang lagi mangsa ialah Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, 52, anggopta Cawangan Khas Bukit Aman yang berasal dari Jabi, Besut. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosiah Dahlan serta tiga anak berusia 17 hingga 22 tahun.