Halaman

05 March 2013

Kerajaan diminta lucut taraf warga negara terhadap Tian Chua


Ahli Jawatankuasa PBPM Cawangan Besut buat laporan polis

Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan diminta melucutkan taraf kewarnageraan terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan kerajaan dan Umno dengan insidenn pencerobohan bersenjata di Lahat Datu, Sabah.

Gesaan itu dibuat oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Besut kerana menganggap pemimpin pembangkang itu tidak patriotik sebaliknya menimbulkan kemarahan rakyat.

Pengerusinya, Hussin Awang Ngah berkata, persatuan rasa kecal dan kecewa dengan kenyataan Ahli Parlimen PKR itu kerana mempersendakan anggota pasukan keselamatan khususnya pasukan polis.

Katanya, suara bantahan itu dilakukan menerusi laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hari ini yang turut disertai ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.

Menurutnya, sikap ego beliau yang mengeluarkan kenyataan secara biadap selain berunsur fitnah itu juga perlu diberi perhatian pihak berkuasa.

“Saya berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Tian Chua berlandaskan undang-undang negara ini,” katanya.

 Hussin berkata, rakyat sudah muak dengan tindakan pemimpin PKR itu yang sering menimbulkan kotroversi kerana kenyataan beliau banyak berunsur fitnah yang boleh menjejaskan keselamatan Negara.