Halaman

28 March 2013

Jalan altenatif beri manfaat kepada ribuan penduduk

Oleh; Esah Abdullah

Terowong Kemajuan jalan Pulau kambing ke Bukit Kecil sangat dinantikan ribuan penduduk yang tinggal di Kampung Pulau Kambing dan sekitarnya kerana dapat mengelak kesesakan jalan raya menuju pusat bandar serta menghilangkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka pergi dan pulang dari sekolah.

 “Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat dari akar umbi dengan membina laluan altenatif sebagai jaminan keselamatan pelajar sekolah di sini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Kambing, Encik Alias Jantan.

Katanya, sebelum itu beliau turut terlibat dalam perbincangan untuk membina jejambat di kawasan itu tetapi keputusan diambil untuk membina terowong yang boleh dilalui kenderaan di samping penjalan kaki.

Encik Kong Wang Ting, 56 dari jalan Hiliran juga berterima kasih kepada kerajaan kerana beliau tidak lagi bersusah payah menempuh jalan sesak menghantar anak ke Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa Wei Sin yang terletak disebelah jalan berkenaan.

“Saya tidak bimbang lagi tentang keselamatan anak jika terlambat datang mengambilnya kerana sudah ada jalan pintas di sini,” katanya yang mengambil dan menghantar anak setiap hari.

Encik Ahmad Shukri Abdullah, 48, yang tinggal di Pekan Batu 6, melahirkan rasa lega bila kerajaan buat terowong kerana memudahkan beliau berulang alik menghantar dan mengambil dua orang anaknya yang bersekolah di SM Chung Hwa Wei Sin.

Beliau yang berniaga di Pasar Payang berkata, dengan adanya jalan altenatif ini beliau dapat menjimatkan masa perjalanan setiap pagi untuk hantar anak dan kemudiannya ketempat kerja.

“Memang pembinaan terowong ini memberi kelegaan kepada seluruh masyarakat yang keluar cari rezeki setiap hari dan saya lihat ramai orang guna jalan pintas ini untuk ke tempat kerja di bandar di samping pelajar dan guru,” katanya.