Halaman

16 March 2013

Ibu Perwira Negara terus dikunjungi pihak yang bersimpati


Khatijah (tengah) bersama pegawai kanan PTCM Terengganu

Oleh: Mohammad Ishak

Ibu Perwira Negara, ASP Zulkifli Mamat yang terkorban dalam kejadian serangan pengganas di Lahad Datu, terharu kerana terus dikunjungi pelbagai pihak untuk memberi sumbangan dan melawat keluarga mereka di Kampung Kubang Ikan, dekat Jertih.

Khatijah Ismail, 64, yang tinggal bersendirian di rumahnya tidak putus-putus dikunjungi orang ramai dari dalam dan luar Terengganu yang datang untuk menyampaikan ucapan takziah sambil menghulur sumbangan.

Terbaru,Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Wilayah Timur menyampaikan sumbangan peribadi Ketua Menteri Melaka , Datuk Seri Mohd Ali Rustam dirumahnya di Kubang Ikan Besut semalam.

Ketua Turus Wilayah Timur PTCM, Mohd Nor Yusof menyampaikan sumbangan bagi pihak Ketua Menteri Melaka.Hadir sama Ketua Polis Daerah Besut,Superintandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Khatijah berkata, walaupun terharu kerana kehilangan anak tersayang tetapi beliau mendapat suntikan semangat apabila pelbagai pihak yang bersimpati dengan arwah datang ke rumah untuk menyampaikan ucapan takziah.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada dua perwira dari negeri itu yang terkorban dalam kejadian di Lahad Datu

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, akan menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada keluarga ASP Zulkifli dan Superintandan Ibrahim Lebar, pada 21 Mac sempena lawatan beliau ke daerah Besut.