Halaman

23 March 2013

Hanya Umno terbaik

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pengundi di negeri ini diingatkan supaya memilih calon-calon Umno yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), bagi memastikan usaha menyatukan semula masyarakat Melayu dapat dicapai.

 Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pada masa yang sama pengundi perlu memastikan kesemua calon Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak diberi peluang untuk menang walaupun satu kerusi pada pilihan raya akan datang.

 “Jika semua calon Pas dan PKR tewas pada PRU13, sudah tentu Umno akan muncul sebagai sebuah parti Melayu yang dominan dan amat dihormati oleh masyarakat Melayu di seluruh negara.

 “Bila keadaan ini berlaku, usaha untuk menyatukan semula orang Melayu menjadi mudah kerana tidak ada lagi penghalang kepada usaha tersebut,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada jalan keluar bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan orang Melayu kecuali menumbang atau `meranapkan’ parti Pas pada PRU13.

Dalam ucapannya di Marang, Dr Mahathir berkata, Pas yang dipimpin Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang diwujudkan bagi kepentingan pemimpin parti itu saja, bukannya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) berkata, pilihan raya ini merupakan peluang terbaik kepada pengundi untuk membuka ruang kepada Umno menyatukan semula masyarakat Melayu yang berpecah sejak sekian lama.

 “Di Terengganu kita mahu kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen dimenangi oleh Umno dan BN.

“Kita mahu rakyat kekalkan 24 kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada pilihan raya umum lalu dan mengembalikan semula lapan kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen kepada BN pada PRU13,” katanya.

Katanya, penduduk negeri ini tidak perlu menunggu lebih lama untuk melenyapkan Pas dan PKR yang menjadi batu penghalang kepada usaha menyatukan semula umat Melayu.

“Pas yang memulakan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu dengan Amanat Haji Hadi yang membawa kepada berlakunya dua solat Jumaat dalam satu kariah, isu kafir mengkafir dan macam-macam perkara lagi yang menyebabkan masyarakat Melayu semakin lemah.

“Bila timbul pula PKR, perpecahan di kalangan umat Melayu semakin parah dan menyukarkan usaha pihak tertentu, termasuk Umno sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Justeru itu, saya berpendapat pilihan raya kali ini patut digunakan sebaik-baiknya oleh pengundi di Terengganu dan seluruh negara untuk melenyapkan Pas dan PKR, demi kebaikan generasi Melayu akan datang,” tegasnya.