Halaman

27 March 2013

Gandingan tiga kepimpinan jadikan Terengganu hebat

Gandingan tiga kepimpinan Menteri Besar, (dari kiri) Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Dato' Seri Haji Idris Jusoh dan Dato' Seri Haji Ahmad Said berjaya meletakkan Terengganu sebagai negeri hebat pada masa ini.
Oleh: Aida Abd Rahman

Gandingan mantap tiga kepimpinan Menteri Besar berjaya meletakkan Terengganu sebagai negeri hebat dalam bidang pendidikan dan sukan pada masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata gabungan tiga tokoh pemimpin utama, bermula dari mantan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, kemudiannya Dato’ Seri Haji Idris Jusoh dan kini, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akhirnya mampu menyuntik hasil dan perkembangan pendidikan yang amat baik di Terengganu.

“Masalah kita di Terengganu kita sudah lama ketinggalan kerana persekitaran kita sebegini. Maka dari segi pembentukan karakter,sahsiah dan penampilan anak Terengganu tidak mencapai kemajuan sebagaimana negeri di Pantai Barat.

 “Dengan apa yang dibuat oleh mantan Menteri Besar yang bermula dari Tan Sri Wan Mokhtar, ditambah dengan apa yang dilaksanakan oleh Dato’ Sri Idris untuk melahirkan golongan ulul-albab dan kita sudah sampai sebenarnya sasaran untuk pergi kepada (kegemilangan) individu,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif berkata, jika Tan Sri Wan Mokhtar bertanggungjawab menyediakan prasarana, Dato’ Sri Idris pula berperanan penting melakukan pengisian bagi pembentukan individu, sebelum diteruskan legasi itu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berasaskan kepada pencapaian lebih tinggi dan tahap global sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Bagaimanapun, kata beliau kita tidak boleh berhenti setakat ini sahaja kerana ini sebagai suatu permulaan dan perjalanan yang masih panjang serta jauh khususnya untuk memartabatkan agenda pendidikan ke peringkat lebih tinggi berkonsepkan `higher learning’.

“Sebab itu kita mahu lebih ramai anak Terengganu yang bersaing di peringkat global dan muncul sebagai individu lebih hebat. Contohnya apabila mereka ke universiti mereka adalah terhebat, apabila mereka bertanding di luar negara mereka adalah terbaik.

“Apabila sudah tergolong di kalangan yang terbaik dan hebat akan memudahkan mereka mendapat kerjaya yang profesional dan diiktiraf di tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, kesinambungan kecemerlangan itu juga diharap satu masa nanti mampu melahirkan anak Terengganu yang bersedia mencurah khidmat di negeri sendiri bagi mengubah paradigma, karaktor dan pembentukan sahsiah secara keseluruhannya.

“Kerajaan negeri mahu anak Terengganu bangga menjadi anak Terengganu dan mereka merasa hebat, bukan sahaja dalam pendidikan, juga di bidang sukan.

“Jadi kalau kita tidak berbuat sesuatu dan masih memikirkan di takuk yang lama, kita takut apa yang kita hasilkan akan merudum kerana untuk membina bukan mudah, tetapi hendak menghancurkan hanya sekelip mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan rakyat Terengganu menghargai setiap kemajuan, mengekalkan dan menambaik baik usaha serta komitmen kerajaan dengan terus memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional bagi kestabilan politik negeri.