Halaman

22 March 2013

Anak buruh cemerlang SPM

Oleh: Noraini Jusoh

Cita-cita anak kepada seorang buruh, Ika Nadia Sulhaki, 18, untuk bergelar jurutera suatu hari nanti semakin cerah apabila beliau memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (2012) yang diumumkan, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu itu adalah antara pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 11 A bagi sekolah terbabit.

Ika Nadia berkata, cara belajarnya sama seperti pelajar lain dengan fokus dan memberi sepenuh tumpuan semasa mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

"Semasa di kelas, saya memberi sepenuh tumpuan terhadap apa yang diajar guru dan bertanya terus kepada guru sekiranya ada yang tidak faham.

"Selain itu, saya turut menghadiri kelas tuisyen bagi menambah pemahaman terhadap apa yang dipelajari,” ujarnya ketika ditemui Teganukita semasa mengambil keputusan SPM di sekolah tersebut, semalam.

Anak sulung daripada empat orang adik-beradik bagi pasangan Sulhaki Sarafudin, 43, dan Kamariah Mohd, 45, tidak menjadikan kemiskinan keluarganya sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.

"Walaupun ayah hanya seorang buruh dan emak pula tukang cuci, mereka banyak memberi dorongan kepada saya supaya belajar bersungguh-sungguh dan diharap kejayaan yang diperoleh hari ini menjadi contoh kepada adik-adik,” katanya.

Katanya, selain dorongan kedua ibu bapanya, sokongan guru-guru dan rakan-rakan turut membantu beliau mendapat keputusan yang cemerlang .

Ika Nadia memperoleh 2A+, 6A, dan 3A- di mana A+ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik Tambahan, 6A bagi Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Biologi, Pendidikan Syari’ah Islamiah dan Bahasa Arap sementara A- Fizik, Kimia dan Pendidikan Al-Quran dan Sunnah.