Halaman

11 March 2013

76 sekolah capai sasaran 201052

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 76 buah sekolah seluruh negeri termasuk 21 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah telah berjaya mencapai sasaran kerajaan dalam peperiksaan awam di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.



Formula 201052 adalah tahap sasaran iaitu 20 peratus calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat semua A, 10 peratus bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) lima (5) peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua (2) peratus bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat semua A dalam peperiksaan dan telah dilancar oleh Menteri Besar pada Mac 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan menghargai kejayaan ini dan berterima kasih kepada para guru.

“Para guru dan ibu bapa berhak untuk merasa bangga di atas kecemerlangan yang dicapai pelajar kita yang mengharumkan nama negeri,” katanya di majlis Apresiasi Anjung Ilmu Kecemerlangan UPSR dan PMR 2012 dan Pelancaran Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular (5P2M) di Dewan Besar Wisma Darul Iman petang ini.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Encik Mohd Sophian Abu Bakar dan Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Terengganu (JPN), Haji Mohd Zuber Embong.



Sekolah Kebangsaan Tapu, Hulu Terengganu telah menerima Anugerah Anjung Ilmu Menteri Besar bagi ketegori UPSR manakala Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud kategori PMR masing-masing menerima wang tunai RM10,000.



Bagi Anugerah Terengganu Anjung Ilmu kategori UPSR merangkumi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Unggul Ilmu, dan PPD Lestari Ilmu keduanya di menangi PPD Besut manakala kategori PMR dimenangi PPD Kuala Terengganu (unggul ilmu) menerima wang tunai masing-masing RM3,000.

Bagi Anugerah Sekolah Anjung Ilmu (enrolmen calon) iaitu masing-masing menerima RM2,000 dan SK Anjung Ilmu capaian 20 peratus (UPSR) dan 10 peratus (PMR) menerima RM1,000.

 “Kerajaan membelanjakan kira-kira RM300,000 untuk anugerah Terengganu Negeri Anjung Ilmu yang baru diwujudkan tahun ini itu dan ini termasuklah untuk peperiksaan SPM dan STPM yang bakal diumumkan minggu depan,” katanya.