Halaman

28 February 2013

Veteran Umno lancar pelekat ‘Keluargaku Pengundi BN’

Oleh: Noraini Jusoh

Kelab Veteran Umno Malaysia telah melancarkan pelekat ‘Keluargaku Pengundi BN’ sebagai tanda sokongan kepada parti Barisan Nasional (BN) dan Umno sempena Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU-13).


Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, inisiatif yang dilakukan oleh Sekretariat Veteran Umno Malaysia itu menandakan semangat yang masih tinggi di kalangan ahli veteran dalam memperjuangkan parti.

"Pengagihan pelekat akan diedarkan kepada setiap rumah dan diharap ia akan ditampal di tempat sepatutnya sebagai tanda kebanggaan setiap ahli.

"Selain itu, bagi menyemarakkan semangat perjuangan parti kita dalam memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRU-13 kelak, golongan veteran juga perlu bersama-sama membantu kerajaan dengan memastikan setiap ahli keluarga menyokong dan mengundi BN pada hari pilihan raya nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Keluargaku Pengundi BN peringkat negeri di Hotel Prinzpark, hari ini.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 45,000 ahli veteran di seluruh negeri.

Beliau yang juga merangkap Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yakin, dengan pelbagai bantuan dan tranformasi yang dilakukan kerajaan, rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada parti BN dan Umno.