Halaman

24 February 2013

Usah hina rakyat – PM

Puluhan ribu rakyat menyambut ketibaab Perdana Menteri ke Terengganu tanda sokongan padu rakyat kepada BN.

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Kalau Pas tidak buat apa-apa (untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat), jangan hina rakyat,” itu pesan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kepada pemimpin Pas.

Sebagai ketua kerajaan, beliau masih boleh menerima hakikat bahawa Pas tidak tolong rakyat atau melakukan sebarang kebaikan untuk mereka, tetapi pemimpin Pas tidak perlu menghina rakyat yang memerlukan pelbagai bantuan daripada kerajaan.

Beliau menjelaskan segala bentuk bantuan yang diberi kerajaan kepada rakyat, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), merupakan amanah yang dipikul Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Malaysia.

“Orang yang mengherdik anak yatim dan tidak tolong anak yatim serta orang miskin melakukan dosa besar,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shanbandar, semalam.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

Perdana Menteri menegaskan Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuruh umat Islam supaya membantu anak yatim dan orang miskin kerana pahalanya amat besar.

Malah, katanya, membantu golongan miskin dan anak yatim menyamai pahala mereka yang berjuang Fisabilillah.

Beliau menyifatkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamai BR1M sama seperti memberi makanan kepada haiwan, telah menghina mereka yang mendapat bantuan tersebut.

“Kerajaan Pusat menyediakan 231 produk bantuan 1Malaysia bagi membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini,” katanya. Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negeri ini menolak parti-parti pembangkang dan memberi undi mereka kepada BN pada pilihan raya kali ini.