Halaman

09 February 2013

Umno Terengganu giat lancar siri ceramah

Oleh: Suriati Ali

 Penerangan Perhubungan Umno Terengganu sudah melancarkan beberapa siri ceramah besar-besaran di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjelaskan kepada rakyat berhubung program dan dasar kerajaan.

 Ketuanya, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penceramah berkenaan menyalurkan maklumat semasa mengenai bantuan dan program yang dilaksanakan Kerajaan BN bagi membantu rakyat tempatan, khususnya golongan berpendapatan rendah.

 “Pada masa yang sama penceramah Umno turut menjelaskan isu-isu semasa kepada seluruh rakyat Terengganu agar mereka tidak dikelirukan dengan fakta-fakta tidak tepat seperti ditimbulkan parti pembangkang dalam ceramah mereka,” tambahnya .

Katanya, sebelum ini, semua peti undi diarah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing, termasuk menyediakan bilik gerakan dan petugas daalm semua aspek, bagi memastikan kemenangan BN.

 “Umno negeri mengarahkan semua peti undi membentuk petugas bagi mengendalikan urusan pilihan raya seperti jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi, jawatankuasa penerangan, kewangan, perbekalan, ‘polling and counting agent’, keselamatan dan pengundi luar,” katanya.

 Dato’ Haji Ahmad Razif turut memberitahu, pihaknya yakin dengan persiapan yang teliti itu BN berpeluang untuk mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat negeri ini, termasuk daripada generasi muda.

 “Kita harap Umno dan BN akan terus menang pada pilihan raya kali ini dan kekal memerintah di Terengganu dan negara ini,” ujarnya.