Halaman

20 February 2013

TATiUC bakal tawar kursus Diploma Bioteknologi

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal menawarkan kursus Diploma Bioteknologi kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutamanya anak Terengganu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihak TATiUC memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri itu.

"Selaras dengan perkembangan bidang bioteknologi, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebelum ini pernah mengumumkan untuk menghantar anak-anak Terengganu menceburi bidang ini ke tahap yang lebih tinggi.

"Justeru, tahun ini kita akan meninjau peluang serta mendapatkan maklumat daripada Kementerian Pengajian Tinggi terutamanya berkaitan dengan tenaga pengajar, kemudahan infrastruktur serta keperluan lain dan sekiranya tiada masalah kita sasarkan tahun 2014 untuk menawarkan kursus ini kepada pelajar yang berminat,” ujarnya.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata demikian pada sidang media di majlis makan tengahari bersama beliau antara pihak TATiUC, pengetua dan kaunselor sekolah menengah di Terengganu bertempat di Ri-Yaz Heritage, Resort & Spa, Terengganu, semalam.



Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin; Permangku Rektor TATiUC, Dr. Zunaidi Ibrahim; Pendaftar TATiUC, Tuan Haji Che Suhaimin Mohamad; Ketua-Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah Negeri Terengganu.

Katanya, bidang bioteknologi merupakan salah satu bidang yang berkeperluan tinggi buat masa sekarang dan sekiranya perlu kerajaan negeri akan menghantar anak-anak Terengganu untuk mendalami ilmu ini di universiti luar negara.

Tambah beliau yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC, dalam usaha membangunkan TATiUC ke arah menjadi universiti penuh pada 2015, pelbagai promosi giat dijalankan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

"Diharap TATiUC yang banyak menawarkan kursus-kursus berkaitan kejuruteraan menjadi pilihan utama pelajar dan bukan lagi menjadi pilihan ketiga dengan adanya promosi yang dibuat contohnya seperti di peringkat sekolah," katanya.