Halaman

01 February 2013

Tasik Kenyir ubah Kuala Berang jadi maju

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Tasik Kenyir yang bakal menjadi destinasi pelancongan utama di Terengganu tidak lama lagi, akan mengubah wajah Kuala Berang menjadi antara bandar termaju di negeri ini, menjelang tahun 2020.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yakin dengan pelbagai kemudahan pembangunan di tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu akan mempengaruhi pembangunan bandar Kuala Berang.

“Kita akan majukan Tasik Kenyir menjadi lokasi pelancongan dengan menjadikannya kawasan bebas cukai yang lengkap dengan pelbagai tarikan lagi. Bila ramai pelancong datang ke Tasik Kenyir, bandar Kuala Berang akan menjadi maju tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Padang Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menaiktaraf jalan menuju ke Tasik Kenyir bagi memendekkan masa perjalanan dari bandar Kuala Terengganu dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Pada akhir tahun ini kita akan membina ‘factory outlet’ di kawasan Tasik Kenyir bagi menempatkan pelbagai produk berjenama sebagai tarikan pelancong,” katanya.

Katanya, banyak lagi kerja-kerja binaan akan dilaksanakan di kawasan tasik berkenaan dalam tempoh terdekat ini bagi memastikan segala prasarana disediakan bagi membolehkanya menjadi antara destinasi pelancongan terbaik di negara ini.