Halaman

03 February 2013

Sultan Mizan berkenan berangkat ke majlis Ceramah Maulidur Rasul

Oleh: Noraini Jusoh



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Ceramah Maulidur Rasul sempena Perkhemahan Maulidur Rasul Pengakap Peringkat Kebangsaan 2013, di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu, malam tadi.

Baginda diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Berteraskan slogan ‘Mentaati Allah dan Rasul’ majlis tersebut turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, alunan Qasidah oleh pelajar Yayasan Sofa Negeri Sembilan serta selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. secara beramai-ramai.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan mendekatkan ahli-ahli Pengakap terutamanya dengan program yang bercorak keagamaan sekaligus memeriahkan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul khususnya di kalangan peserta perkhemahan, satu slot ceramah telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Akidah Negeri Sembilan, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin, merangkap Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengasas Yayasan Sofa Negeri Sembilan dalam ceramahnya menyeru para hadirin bersyukur dengan dua anugerah Allah s.w.t yang terbesar iaitu ilmu dan rahmat.

Menurut beliau, perhimpunan sebegitu perlu diadakan secara terus menerus agar umat Islam dapat bersama-sama menghayati hari Maulidur Rasul serta menunjukkan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w.



Seramai 3000 pengakap yang menyertai perkhemahan tersebut, para jemputan serta masyarakat setempat hadir mendengar Ceramah Maulidur Rasul yang turut dihadiri para pembesar negeri itu.