Halaman

19 February 2013

Semarak Kasih tunjang keluarga bahagia

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Antara peserta yang mengikuti Program Pasca Perkahwinan Semarak Kasih di Telemong, baru-baru ini.
Seramai 200 peserta dari pelbagai peringkat usia menghadiri Program Pasca Perkhawinan “ Semarak Kasih “ peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong baru-baru ini. Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ( YPK).

Sasaran utama YPK terdiri daripada golongan pasangan yang telah berkhawin, peserta program Pinjaman Jaya Diri ( PJD) dan juga ibu tunggal.

Program ini telah diadakan secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam parlimen Hulu Terengganu sebanyak empat siri di mana DUN Telemong merupakan program terakhir yang diadakan.

Menurut Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Hulu Terengganu, Cik Rahida Udin, setakat pelaksanaan program pasca perkhawinan yang dijalankan telah berjaya menarik ramai golongan untuk menyertainya kerana mereka berpendapat program ini dapat memberi impak yang besar dalam kehidupan berumahtangga serta berkeluarga.

“Antara objektif pasca perkhawinan ialah memperkukuhkan hubungan antara suami dan isteri, menanam sikap kecaknaan dalam diri pasangan di kalangan ahli keluarga serta untuk menyemarakkan perasaan cinta dan kasih sayang yang berterusan antara suami dan isteri,” kata Rahida ketika ditemui Teganukita.

Program tersebut turut diselitkan dengan ceramah kekeluargaan oleh Y.Bhg Tuan Haji Kamalrudin Omar, Penasihat Agama kepada YAB Menteri Besar Terengganu.