Halaman

22 February 2013

Samakan penerima BR1M dengan haiwan, bimbang penyokong Pas memihak BN : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Tindakan Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti haiwan adalah disebabkan beliau bimbang penyokong Pas yang turut menikmati bantuan daripada Kerajaan Pusat itu akan memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata disebabkan BR1M diagihkan kepada semua rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang politik termasuk penyokong Pas sendiri, Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana marahkan penyokong parti yang dipimpinnya itu sanggup menerima bantuan daripada Kerajaan BN.

“Maknanya dia kata ke orang (Pas) dialah. Sebenarnya dia nak marah kepada orang dia kerana ambil BR1M dan mungkin apabila sudah ambil pastinya akan menyokong BN, sebab mahu mengucapkan terima kasih..Sebab itu dia kata macam itu (menyamakan dengan haiwan).

“Sebagai pemimpin yang bertaraf ulama dan guru agama, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya menyamakan bantuan BR1M seperti memberi binatang makan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pancing Ikan Darat Terbuka 1Malaysia Mesra Rakyat, di Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, petang ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kenyataan tidak bermoral seorang pemimpin tertinggi Pas yang juga Menteri Besar Kelantan itu menggambarkan perilaku, tabiat serta personaliti beliau yang sebenar.

Beliau yang kesal dengan kenyataan itu berharap rakyat dapat menilai sedalam-dalamnya kepimpinan Pas masa kini dan memilih parti yang benar-benar memperjuangkan agama, bangsa dan juga negara.

Dalam laporan semalam, ketika jutaan rakyat Malaysia bersyukur dengan pelbagai bantuan yang diberikan Kerajaan Pusat, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaliknya menyamakan usaha murni itu sebagai ‘memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu’.

Menurutnya, pemberian wang ringgit sangat mendapat sambutan kerana sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.

Kerajaan Pusat melalui BR1M 2.0 tahun ini memperuntukkan kira-kira RM3 bilion untuk mengagihkan sebanyak RM500 kepada kira-kira 4.3 juta isi rumah manakala kira-kira 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas menerima sebanyak RM250.