Halaman

28 February 2013

Rizuan terbaik Malaysia di laman sendiri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelumba kelahiran Terengganu, Mohd Nur Rizuan Zainal yang mewakili Pasukan Kebangsaan mencuri perhatian peminat sukan berbasikal apabila melonjak di tangga ke-12 untuk muncul pelumba terbaik Malaysia ketika persaingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, semalam.

Rizuan bergandingan dengan Mohamad Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli, Muhamad Rauf Nur Misbah, Zulhimie Afif Ahmad Zamri dan Yusrizal Usoff mewakili pasukan kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih, Omar Saad.

Perlumbaan sejauh 149.8 kilometer dari Kuantan menghala ke daerah kelahirannya di Dungun itu seakan suntikan semangat buat Rizuan, sekaligus mengenepikan dua pelumba pecut handalan berbasikal lebuh raya negara, Mohd Harrif salleh (Terengganu Cycling Team) dan Anuar Manan (Synergy Baku Cycling Project).

Rekod terbaik yang dicatat sepanjang LtDL 2013 bagi peringkat ketujuh itu juga meletakkan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Omar itu sebagai pelumba Asia ketiga terbaik.

Manakala Mohd Harrif berada ditangga ke 13 yang juga keempat terbaik Asia), diikuti Mohamad Saufi Mat Senan di kedudukan ke-22 (kelapan Asia), manakala Anuar di tangga ke-25 (kesebelas Asia).

 Pelumba Itali, Andrea Guardini dari Astana Pro Team kekal pendahulu keseluruhan di peringkat ketujuh dari keseluruhan125 pelumba yang mewakili 22 pasukan seluruh dunia.