Halaman

24 February 2013

PM lancar Program GIGIH

Perdana Menteri ketika melancarkan Karnival Kerjaya BN.
Oleh: Suriati Ali 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak melancarkan program GIGIH yang menggalakkan semangat keusahawanan di kalangan rakyat, selain memberi pengiktirafan kepada individu yang berjaya meningkatkan kualiti hidup menerusi aktiviti itu di tapak Program Jelajah Janji Ditepati di Dataran Shahbandar, di Kuala Terengganu, semalam.

Program kendalian Agensi Inovasi Malaysia itu bertujuan mengetengahkan aktiviti atau perniagaan yang berjaya menambah pendapatan bagi dijadikan contoh atau inspirasi kepada individu lain untuk meraih kejayaan.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Rozario berkata, individu terbabit akan dipelawa berkongsi resipi kejayaan mereka dalam cabaran GIGIH yang menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM2 juta untuk 500 pemenang.

“Program itu bertujuan mengenal pasti idea aktiviti atau perniagaan yang berjaya dan seterusnya kejayaan itu dikongsi bersama rakyat yang ingin menjadi usahawan berjaya.

“Sememangnya banyak kisah menarik usahawan Malaysia yang boleh memberi inspirasi kepada semua, daripada kisah usahawan Internet atau mereka yang menawarkan pelbagai barangan atau perkhidmatan ke rumah hinggalah kepada kisah peminat permainan kawalan jarak jauh yang membina model kapal terbang.

“Jika usaha mereka dapat diguna pakai untuk membentuk usahawan lain dan seterusnya meningkatkan taraf hidup, kita akan beri ganjaran sebagai tanda sokongan dan pengiktirafan kerajaan terhadap daya usaha serta inovasi mereka,” katanya.

Pada pelancaran itu, Dato’ Seri Najib turut diperkenalkan dengan produk dua peserta GIGIH, Azlan Azhar, 43, yang menghasilkan kapal terbang mainan kawalan jauh, selain produk kasut buatan sendiri diusahakan Aryna Samsudin, 30