Halaman

12 February 2013

PM jumpa tokoh ulamak dan cendiakawan di Bukit Jalil

Oleh; Esah Abdullah

Satu perhimpunan perdana secara besar- besaran antara Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan tokoh–tokoh ulamak dari seluruh negara akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 5 Mac depan.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekituan (MAWIP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Sekteriat Ulamak dan Umarak (Umum)

Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Haji Jailani Ngah berkata, tokoh ulamak terdiri daripada cendiakawan Islam, mufti dan tokoh-tokoh umarak daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ketua-ketua jabatan di seluruh negara serta 10,000 warga asnaf dari sekitar Wilayah Persekutuan dijangka hadir.

“Antara tujuan perhimpunan adalah untuk menjalin hubungan baik antara kerajaan dan ulamak dan umarak dan PM akan mengumumkan sesuatu perkara penting berkaitan dengan agenda Islam di negara ini,” katanya dalam sidang media di Majlis Lawatan dan Ucapan bersama Pensyarah,Kakitangan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB haji Muhammad Ramli Noh dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim.

Katanya, Perdana Menteri akan mendapatkan pandangan ulamak dan cendiakawan mengenai manifesto kerajaan yang akan diutarakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan para ulamak dijangka akan menyerahkan resolusi kepada kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Perdana Perhimpunan Ulamak, Umarak dan Warga Asnaf bersama Perdana Menteri  berkata perhimpunan yang bakal mencatat sejarah tersendiri itu memberi fokus untuk memertabatkan agenda Islam di bawah transformasi negara.

 “PM dijangka mengumumkan beberapa perkara berkaitan perjawatan pegawai agama daerah, elaun bilal, program khas haji dan umrah serta cadangan menaikkan taraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebuah kementerian,” katanya.

Menurutnya, sehari sebelum perhimpunan (4 Mac) satu seminar ulamak akan diadakan dengan mengundang dua orang tokoh akademik dari universiti tempatan untuk membentang kertas kerja bertajuk ‘Hubungan Ulamak dan Umarak, Wasatiyahnya di mana’ dan ‘Mendaulatkan Islam’.

Majlis diskusi ilmiah secara tertutup itu akan dihadiri 250 orang terdiri daripada mufti, ulamak, cendiakawan, professional, Majlis Belia Malaysia untuk mendapat resolusi terbaik yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada perhimpunan keesokkannya (5 Mac).