Halaman

17 February 2013

Pemimpin Pas sering menyalahkan orang lain


DR Abdullah menyampaikan cek kepada bekas anggota tentera tidak berpencen

Oleh: Mohammad Ishak 

Pemimpin PAS tidak mementingkan perpaduan umat Islam sebaliknya sering menyalahkan orang lain menyebabkan pengikutnya taksub dengan apa yang diperkatakan pemimpin mereka.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata,jika ada barisan kepemimpinan Pas yang berhasrat mewujudkan perpaduan mereka akan menentangnya malah ada yang disingkirkan daripada parti itu.

Katanya, Islam menuntut umatnya ke arah perpaduan tetapi Pas dengan jelas tidak mengikutinya sebaliknya lebih banyak menimbulkan perpecahan sesama Islam.

Dr Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata,hasrat Pas mengantikan Umno dalam pemerintahan juga tidak akan tercapai kerana parti itu hanya sekadar meletakkan kira-kira 60 calon perlimen dalam setiap kali pilihan raya umum diadakan

“Tindakan Pas menyingkirkan pemimpinnya yang memperjuang Islam membuktikan parti itu tidak Islamik sebaliknya mengikut telunjut DAP,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada bekas pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Sivik Jabi, Jertih hari ini.

Seramai 383 bekas anggota tentera tidak berpencen menerima bantuan RM1,000 seorang daripada Jabatan Hal Ehwal Khas ATM.

Mengenai PRU13, Dr Abdullah berkata, Pas tidak akan mendapat tempat di kalangan pengundi di Parlimen Besut sebaliknya akan menolak calon parti berkenaan.

Katanya, Parlimen Besut mempunyai 74,000 pengundi termasuk 16,000 pengundi baru yang akan menentukan kedudukan calon pada PRU13.

Bagaimanapun,katanya, sebahagian besar pengundi baru di kalangan generasi muda adalah yang didaftarkan oleh Pemuda dan Puteri Umno bahagian itu.