Halaman

27 February 2013

Pelajar 'bertuah' terima BBIM

Pelajar UMT menerima insentif Baucer Buku 1Malaysia.
Oleh; Esah Abdullah

Seramai 8,063 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima insentif Baucer Buku 1Malaysia (BBIM) membabitkan peruntukan lebih RM2 juta.

Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, pemberian ini dapat meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan sekali gus memupuk minat membaca kalangan pelajar.

“Anda semua amat bertuah kerana dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan dan berharap bijak memanfaatkan pemberian ini dengan membeli buku-buku bersesuaian untuk tujuan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Penyerahan BB1M dan perasmian Pameran Penerbitan Ilmiah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2013 di Dewan Sultan Mizan UMT petang semalam.

Penyerahan BBIM dan perasmian pameran dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan merangkap Menteri Mentor UMT, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili dan Pengarah Pusat Pembelajaran Digital Sultanah Nur Zahirah, Prof Dr Md Yazid Mohd Saman.

“Para pelajar harus melihat usaha murni ini sebagai satu dorongan dan peluang untuk meningkatkan pencapaian akademik di universiti ,”.

“Baucer ini boleh digunakan di pameran yang sedang berlangsung atau dimana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan insentif ini sehingga 31 Mei depan,” katanya.

Pameran yang berlangsung lima hari dan akan berakhir esok itu melibatkan penyertaan pembekal buku dari seluruh negara dan antara aktiviti sepanjang pameran termasuklah kuiz permainan singkat, bersama novelis terkenal, motivasi jom masuk u, forum dan program bersama personaliti Chef Hanielieza.