Halaman

20 February 2013

Maidam terima bayaran zakat dari Gloden Pharos Berhad

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan Golden Pharos Berhad dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan Golden Pharos Berhad, Datuk Zubir Embong telah menyerahkan replika cek berjumlah RM209,385.10 kepada Yang Dipertua Maidam, Dato’ Bentara Luar, Dato’ Haji Omar Pilus.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh turut menyaksikan penyerahan zakat tersebut.

Golden Pharos Berhad adalah syarikat senaraian awam di Papan Utama Bursa Malaysia, dimiliki sebanyak 63.61% oleh Terengganu Incorporated Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Kerajaan Negeri Terengganu.

Kegiatan utamanya adalah pengurusan konsesi hutan, pembalakan dan pengagihan, pengilangan papan dan pemprosesan tambah nilai barangan berasaskan kayu, pengilangan dan menjual panel kaca seni binaan serta pintu kayu.