Halaman

02 February 2013

Laksana Program Titian Bestari atasi keciciran ke IPT

 Oleh: Suriati Ali 

 Program Titian Bestari akan dipertingkatkan bagi mencapai sasaran sifar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal menempatkan diri di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata inisiatif kerajaan negeri melaksanakan program yang masuk tahun ketiga itu untuk memastikan tiada pelajar negeri ini yang kurang cemerlang dalam akademik tercicir selepas tamat persekolahan.

Katanya, kita mengenal pasti kira-kira 3,000 pelajar negeri ini tidak berapa cemerlang. “Peratusan mereka tidak besar berbanding sekitar kira-kira 21,000 calon SPM setiap tahun di mana jumlah itu melibatkan hanya 14 peratus sahaja.

“Justeru itu bagi mengatasi masalah pelajar tercicir ini, kita wujudkan Program Titian Bestari yang melibatkan peruntukan menerusi Tabung Kemahiran Yayasan Terengganu berjumlah RM1 juta,” katanya.

 Beliau berkata, proses agihan Bantuan Persekolahan RM100 kepada kesemua 246,922 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini yang bermula 15 Januari lalu sudah selesai sepenuhnya pada 31 Disember.

“Daripada kesemua jumlah pelajar berkenaan, 135,005 adalah murid sekolah rendah manakala bakinya iaitu 111,917 pelajar sekolah menengah di seluruh Terengganu,” katanya.