Halaman

06 February 2013

KTS mahu mempertingkat kualiti perkhidmatan

Oleh: Noraini Jusoh

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) telah menerima pensijilan ISO 9001:2008 bagi Penyediaan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan oleh Moody International Certification (Malaysia) Sdn Bhd dan Moody International Certification Ltd dimana tempoh sah sijil tersebut adalah selama tiga tahun berkuatkuasa 21 Disember lalu.

Ini sekaligus meletakkan hospital swasta yang merupakan anak syarikat TDM Berhad dan milik kerajaan negeri itu kepada satu standard lebih tinggi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Zawiah Sharif berkata, pihaknya bangga kerana telah diberi pensijilan tersebut dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menambahbaik dan mempertingkat kualiti perkhidmatan terhadap pelanggan.

Semalam, satu majlis penganugerahan pensijilan ISO 9001:2008 telah diadakan di KTS dimana sijil tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Besar, Moody International Certification (Malaysia) Sdn Bhd, Dr. Ooi Cheng Lee kepada Pengerusi KTS, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Bahagian Kumpulan Kesihatan TDM Berhad, Bryan Lin Boon Dian; Pengarah Perubatan KTS, Dato’ Dr. S. Menon serta Pengurus Kumpulan TDM Berhad.

Menurut Zawiah, mendapat pensijilan tersebut merupakan satu kejayaan besar pihaknya dalam usaha berterusan untuk memiliki satu sistem pengurusan kualiti.

"Dengan pengiktirafan ini, ia dapat memperkukuh fokus dan komitmen kakitangan KTS bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik dalam usaha memenuhi kepuasan pelanggan,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.