Halaman

04 February 2013

KTS capai pensijilan ISO 9001:2008

Oleh: Noraini Jusoh

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang merupakan sebuah hospital swasta terkemuka di Kuala Terengganu telah memperoleh pensijilan ISO 9001: 2008 bagi penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada 21 Disember 2012.

Pensijilan tersebut telah dianugerahkan oleh sebuah badan pensijilan bebas terkenal antarabangsa iaitu Moody International Certification (Malaysia) Sdn Bhd dan Moody International Certification LTD.

Dengan pencapaian itu bermakna, proses pengurusan kualiti hospital telah diaudit dan telah memenuhi kehendak sistem pengurusan mengikut piawaian Malaysia dan United Kingdom Accreditation Standard (UKAS).

Sistem pengurusan kualiti KTS yang telah diaudit mengikut piawaian ISO termasuk tanggungjawab pengurusan kualiti, proses tindakan pembetulan dan pencegahan, pengurusan pembekal, audit dalaman dan latihan pekerja.

Sehubungan itu, anugerah tersebut akan disampaikan oleh wakil bagi Moody International Certification LTD kepada Pengerusi KTS, Datuk Hajah Fatimah Hamal dalam satu majlis yang diadakan di KTS pada 5 Febuari ini.