Halaman

06 February 2013

Kerajaan dapat pulangan RM50 bilion dalam tempoh lima tahun

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri dijangka memperolehi pulangan pelaburan RM50 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan pelabur asing yang berminat melabur dalam pelbagai industri berskala besar di negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, terbaru sebuah syarikat dari Korea Selatan bersetuju membuka kilang besi di kawasan perindustrian Telok Kalung, Kemaman.

“Pelaburan projek ini bernilai RM6.6 bilion serta mempunyai tiga fasa iaitu RM600 juta pada peringkat pertama , kedua RM1.5 bilion dan ketiga berjumlah RM4.5 bilion,” katanya dalam sidang media di majlis Penyerahan Cek RM1,000 secara one-off kepada Pesara Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran ATM, Dato’ Zulkifli Mazlan dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Terengganu (PVTTBT), Encik Alias Abdul Razak serta 975 orang bekas tentera dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Katanya, kilang besi ini akan dibina di kawasan seluas 400 hektar di Telok Kalong dan merupakan yang ketiga di negeri ini di mana sebelum ini sudah ada Eastern Steel Sdn Bhd. dan Pewaja Steel Sdn Bhd.

“Majlis menandatangani perjanjian persefahaman projek ini dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun ini dan kita masih mempunyai banyak kawasan yang berpotensi tinggi untuk dijadikan hab industri,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebuah lagi syarikat bakal membina kilang besi keempat di Telok Kalong dengan nilai pelaburan RM15 juta.

“Setakat ini kita masih dalam perbincangan dan saya tidak boleh dedahkan nama syarikat berkenaan, jika semuanya selesai kita akan umumkan,” katanya.

Menurut Menteri Besar, kesemua projek berskala besar itu akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.