Halaman

18 February 2013

IPG Kampus Dato’ Razali Ismail anjur Kejohanan Sukan

Oleh: Noraini Jusoh

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar bagi sesi 2013/2014 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu akan menganjurkan Kejohanan Merentas Desa dan Pelancaran Bulan Sukan IPG 2013 di institut terbabit pada 24 Februari ini.


Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian merangkap Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar institusi terbabit, Muhamad Arif Mohd Zain berkata, Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Encik Ghulam Sarver Mobarak Ali dijangka menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

"Program anjuran bersama dengan Jabatan Pendidikan Jasmani itu akan melibatkan kira-kira 1200 peserta yang terdiri daripada pensyarah, guru pelatih dan pelajar Sekolah Kebangsaan Institut Perguruan Kuala Terengganu bagi menyertai acara merentas desa di kawasan sekitar kampus.

"Sempena kejohanan itu juga, majlis pelancaran bulan sukan yang bermula awal Februari sehingga Mac nanti turut diadakan di mana pelbagai acara menarik bakal berlangsung seperti kejohanan ragbi Piala Pengarah, liga bola sepak, kejohanan olahraga tahunan dan karnival sukan kolej kediaman,” ujarnya ketika ditemui Teganukita, hari ini.

Katanya, tujuan program tersebut diadakan bagi menyahut seruan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam memartabatkan sukan selaras dengan slogan 1Murid 1Sukan.

"Fokus utama program adalah sebagai pendedahan awal kepada guru pelatih dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan selain melahirkan guru pelatih yang sihat rohani dan fizikal,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan penglibatan pelajar sekolah diharap program separuh hari yang bermula seawal jam 7 pagi sehingga 1.15 petang itu akan menjadi satu titik permulaan kepada guru pelatih untuk menjadi seorang pendidik yang berwibawa dan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.