Halaman

01 February 2013

Gelanggang futsal untuk belia Binjai Manis

Oleh: Aida Abd Rahman

Kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sempena majlis jamuan rakyat dan perasmian Balai Raya Kampung Binjai Manis, Manir, memberi khabar gembira kepada belia di kawasan itu apabila mereka dihadiahkan sebuah gelanggang futsal berharga RM150,000.

Menteri Besar menandatangani plat di Majlis Perasmian Balairaya Kampung Binjai Manis
“Kerajaan bina balai raya baru pada tahun lepas dengan kos RM200,000 dan sekarang kita luluskan pembinaan gelanggang futsal baru untuk orang muda.

“Gelanggang futsal yang mengikut ukuran biasa ini akan dilengkapi lampu dan sebagainya dengan kos RM150,000. Bagaimanapun, kos keseluruhan tidak dapat ditentukan kerana ia akan melibatkan kos kerja tanah dengan tambahan kos beberapa ribu lagi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri sebelum itu melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Wanita dan Penggerak Kemas Dewan Undangan Negeri DUN Manir di Pejabat Komuniti DUN Manir.



Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Fatimah Hamat; Pegawai Penyelaras DUN (PPD), Encik Yusof Awang Hitam dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong.

Menteri Besar juga berharap Encik Yusof dapat menghubungi pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu bagi mendapatkan kos sebenar pembinaan gelanggang itu dengan kadar segera.

 “Kita minta supaya dalam tempoh dua bulan dari sekarang gelanggang futsal ini dapat dibangunkan. Selain itu, saya berjanji jika Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 1,000 unit rumah lagi akan dibina di Manir. Sekarang 437 sudah siap, Insya-Allah selepas PRU13 kita akan agihkan,” katanya.