Halaman

07 February 2013

Bukan Pas kuat, tapi rakyat tidak kenang budi : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembangkang berjaya menawan kerusi Dewan Undangan Negeri Manir (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) sejak lima penggal lalu, bukan kerana wakil rakyat Pas berjaya memenuhi kehendak rakyat di kawasan itu, bagaimanapun akibat wujudnya `gunting dalam lipatan’ di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri, kata Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

“Ada golongan yang mendapat habuan dan nikmat daripada apa yang sudah kerajaan BN laksanakan selama ini tetapi tidak mensyukuri nikmat itu.

“ Kebanyakan mereka mendapat kesenangan kerana dasar dan apa yang dilakukan oleh BN dan Umno, namun atas sebab satu dua perkara yang mereka tidak puas hati, mereka bertindak mensabotaj parti sendiri serta tidak mengundi calon BN pada PRU,” katanya.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata demikian ketika berucap di Majlis Jentera Jalinan Rakyat Wanita dan Penggerak Kemad DUN Manir, di Dewan Komuniti DUN Manir, baru-baru ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata BN mampu menawan semula kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti sekiranya semua pengundi di kawasan itu di kalangan mereka yang tahu bersyukur dengan apa yang sudah mereka nikmati dan perolehi selama ini.

 Antara usaha Pegawai Pembangunan DUN (PPD) berkenaan, Encik Yusof Awang Hitam, yang tidak pernah dilaksanakan di kawasan lain, menurut Menteri Besar adalah Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam yang menyediakan rawatan secara percuma kepada penduduk kawasan itu, tanpa mengira latar belakang politik.

“Saya bercakap dengan Perdana Menteri (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) sebelum ini, saya secara peribadi tidak pernah melihat seorang yang bukan wakil rakyat, dilantik sebagai PPD bekerja begitu kuat dan melaksanakan macam-macam kemudahan untuk penduduk kawasannnya.

“Malah, sepanjang saya menjadi Menteri Besar dan Exco, saya tidak pernah tahu mengenai kawasan yang menyediakan khidmat seperti itu (Klinik Rawatan Masyarakat). Maknanya beliau mengambil inisiatif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Apa lagi yang orang Manir mahukan, kecuali jika masyarakat di sini sememangnya dilahirkan sebagai golongan yang tidak mengenang hati budi orang lain,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang gagal dan tidak pernah melakukan sebarang pembangunan dan kemudahan untuk penduduk kawasan itu walaupun majoriti pengundi memihak parti itu pada setiap kali PRU lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, tiada sebab lagi penduduk Manir berterusan memilih Pas yang gagal memperjuangkan nasib mereka, malah PRU13 adalah penentu terbaik untuk penduduk DUN itu supaya mengenang jasa kerajaan BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan bantuan kebajikan dapat terus disalurkan kepada mereka.