Halaman

07 January 2013

YPKT bakal tambah empat TPK

Oleh: Suriati Ali

 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) merancang membina empat lagi Taska Permata Keluarga (TPK) khusus untuk kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun mengikuti program kurikulum Permata Negara.

 Pengarah yayasan itu, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata permohonan taska berkenaan sudah mendapat persetujuan Pusat Anak Permata Negara untuk dibina di Padang Hiliran, Kuala Terengganu, Wakaf Tapai (Marang), Kemaman dan Dungun tahun depan yang membabitkan lebih RM1 juta.

 "Ketika ini, Terengganu paling banyak mempunyai Taska Permata berjumlah 84 buah dan 66 daripadanya dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).


"Semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mempunyai sebuah taska berkenaan yang dilengkapi kemudahan melibatkan perbelanjaan RM20 juta daripada kerajaan Pusat menerusi Pusat Anak Permata Negara yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor," katanya.

Katanya, YPKT mendapat persetujuan kerajaan negeri untuk menambah peruntukan membiayai pengurusan dan aktiviti perkembangan awal kanak-kanak TPK berjumlah RM12 juta,

 Katanya, peruntukan itu akan dibelanjakan secara berhemah termasuk membeli pelbagai kelengkapan belajar dan menyediakan kemudahan semata-mata mahu memberi yang terbaik kepada kanak-kanak TPK.

"Sebelum itu, YPKT ada menerima  peruntukan kira-kira RM10 juta untuk membiayai pengurusan dan aktiviti perkembangan awal kanak-kanak TPK.

“YPKT boleh berbangga kerana berjaya melengkapkan pendidikan agama dan hafaz al-Quran di peringkat awal usia kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun bermula di Taska Permata,” katanya.