Halaman

06 January 2013

Van khidmat masyarakat bantu orang awam

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendengar rungutan masyarakat dan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik demi menjaga kebajikan mereka terutama golongan yang berpendapatan rendah.


Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh berkata, usaha menyediakan van khidmat masyarakat sebagai altenatif pengangkutan awam memberi kemudahan meliputi semua masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

“Kita ambil inisiatif ini di atas rungutan orang ramai kerana sukar mendapatkan pengangkutan awam bagi tujuan masa-masa kecemasan,” katanya kepada pemberita sempena genap setahun van khidmat masyarakat DUN Ladang beroperasi di Pasir Panjang hari ini.

Katanya, lebih seribu orang penduduk sekitar Kampung Pasir Panjang, Bukit Bayas dan Sungai Derhaka tidak lagi menghadapi masalah untuk di hospital atau klinik sekitar bandaraya bagi mendapatkan rawatan kerana sudah ada kenderaan mengambil dan menghantar mereka.

Menurutnya, van berkenaan yang boleh muat 11 orang penumpang itu mempunyai beberapa lokasi menunggu dengan empat trip sehari iaitu jam lapan dan 10 pagi serta jam 12 dan dua petang.

“Pejabat Penyelaras DUN memberi imbuhan bulanan kepada dua orang pemandu mengendalikan van berkenaan serta tidak menghadkan kepada penyokong BN sahaja sebaliknya terbuka kepada semua yang memerlukan perkhidmatan,” katanya.

Katanya, cadangan untuk meluaskan perkhdmatan ini ke kampung-kampung lain dalam DUN akan dipertimbang jika ada permintaan daripada orang ramai.

“Kerajaan BN tidak pernah menolak atau menghampakan apa saja kehendak rakyat, untuk itu mereka perlu menunjukkan sokongan bagi mengekalkan kerajaan yang ada agar generasi akan datang terus terbela,” katanya.