Halaman

15 January 2013

UMNO Besut benteng terkuat BN hadapi PRU13


Dato' Seri Ahmad Said mendengar taklimat di Bilik Gerakan UMNO Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Kekuatan UMNO Terengganu akan menjadi lebih kuat dan bermaruah apabila pihak pembangkang sukar menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dipelopori oleh bahagian Besut.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said yang yakin dengan keupayaan pimpinan Besut menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13), berharap bahagian lain turut mencontohi bahagian itu.

Katanya, dengan kekuatan yang ada kepada semua pemimpin dan sokongan padu ahli parti BN pembangkang tidak mudah menggugat pengundi di Parlimen Besut.

“Saya amat berpuas hati dengan pengurusan bahagian yang mempunyai pelbagai kemudahan dan bilik khusus untuk semua portfolio,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Umno Bahagian Besut, malam tadi.

Terdahulu, Ahmad diberi taklimat mengenai persiapan pilihan raya yang disampaikan oleh Setiausaha Umno Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Hadir sama pada taklimat itu ialah semua ketua Umno bahagian termasuk ketua wanita, pemuda dan puteri negeri.

Ahmad berkata, berdasarkan maklumat diterima pengundi di Parlimen Besut akan memberi sokongan padu kepada semua calon BN yang akan bertanding pada PRU13 nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, semua bilik gerakan akan mula beroperasi akhir bulan ini bagi menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan pada bila-bila masa. Malah,katanya, jentera pilihan raya juga sudah bersiap sedia untuk digerakkan sebik sahaja perlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri.