Halaman

12 January 2013

Umno anjur program Selamat Tinggal Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Badan Perhubungan Umno Negeri akan menganjurkan lebih banyak program Selamat Tinggal Pas bagi membolehkan lebih ramai ahli dan penyokong Pas keluar parti itu dan menyertai Umno.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kebelakangan ini ramai ahli Pas menyuarakan hasrat untuk meninggalkan perjuangan parti itu kerana mereka sudah muak dengan pemimpinnya yang melakukan tindak tanduk bertentangan dengan matlamat asal penubuhannya.

“Kita akan mengadakan program tersebut di seluruh negeri bagi membolehkan mereka ini mengisiytiharkan keluar Pas dan masuk Umno,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 200 ahli dan penyokong Pas mengisytiharkan keluar parti itu dan menyerahkan borang keahlian Umno masing-masing kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang kebetulan dalam lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, pihaknya yakin dengan bantuan bekas pemimpin Pas yang sudah masuk Umno, lebih ramai ahli dan pengikut Pas dapat dikumpul untuk menyertai program Selamat Tinggal Pas.

“Kita akan memberi peluang kepada mereka untuk menyerahkan borang keahlian Umno kepada pemimpin Umno negeri, termasuk Menteri Besar (Dato’ Seri Haji Ahmad Said),” katanya.

Pelbagai isu yang melanda Pas, termasuk Amanat Hadi, pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat dan DAP serta pengguguran cadangan melaksanakan hukum hudud, menyebabkan ramai ahli dan pengikut parti itu tidak lagi mempercayai kepimpinan Pas sekarang ini.

Mereka berpendapat tidak ada gunanya meneruskan perjuangan dalam parti itu yang sebelum ini bertegas mahu memperjuangkan Islam, sebaliknya kini sudah menyeleweng jauh dari matlamat asal.