Halaman

06 January 2013

TMT 2013 mampu tingkat jumlah pelancong

Oleh: Suriati Ali

Kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) amat bermakna dalam usaha berterusan menjenamakan produk dan destinasi pelancongan di negeri ini dan seterusnya bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, sehingga kini sebanyak 34 acara pelancongan bakal dianjur sepanjang TMT 2013.

 Menurutnya, destinasi pelancongan pula akan dikategorikan kepada lapan kluster iaitu Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air, Pantai dan Pulau, Tasik Kenyir, Seni dan Budaya, Sejarah dan Warisan, Taman-taman Rekreasi, hutan-hutan simpan dan air terjun, Setiu Wetland dan penyu.


“Saya yakin jumlah kedatangan pelancong akan bertambah dan memberi pulangan serta manfaat secara terus kepada rakyat negeri ini. Sebab itu bilangan chalet dan hotel juga bertambah apabila sebanyak 9,329 bilik disediakan di seluruh negeri Terengganu.

 “Daripada pertambahan tersebut, yakin tidak timbul masalah penginapan kerana pada 2008, hanya 7, 813 bilik sahaja disediakan,”katanya.

 Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian pelancaran TMT 2013 di Perkarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

 Majlis perasmian telah disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani. semalam.

 Menurutnya, destinasi pelancongan di negeri ini juga sesuai dijadikan tempat penganjuran acara sukan lasak seperti Kenyir Lake International Triathlon, Kapas-Marang International Swimathon, Terengganu International Squid Jigging Carnival, Piala Monsoon Terengganu dan Terengganu International Surfing. 

“Kesedaran semua pihak diharapkan bagi menjaga dan memulihara kelestarian khazanah alam semulajadi di samping anjakan minda ‘mesra pelancong’, prasarana yang pelancongan yang baik, sistem pengangkutan yang efisyen, galakan dan promosi berterusan dan penganjuran acara-acara pelancongan dalam negeri.

 “Dengan usaha itu negeri Terengganu bakal menjadi destinasi mesti lawati, membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan dan seterusnya dapat menjana pembangunan negeri,” katanya.